Thursday, August 20, 2009

Kata Kawan Ku

Sedang menhirup nescafe panas sambil-sambil menyedut nicotine di tangan, aku teringat kata-kata kawan ku ketika lepak bersama semalam. Katanya, manusia kalau bersultankan nafsu, berajakan pangkat, bukan sahaja merobohkan institusi sesebuah keluarga, malah boleh mencacatkan keseluruhan anggota didalam sesebuah keluarga itu sendiri.
Pelik? Tapi itulah kenyataan nya. Itulah realiti sebuah kehidupan yang memang berlaku pada masa sekarang. Terutama kepada bangsa kita yang kita semua mengaku sebagai Islam atau Muslim. Persoalannya sekarang, adakah kita sebagai manusia sering di kaitkan dengan lupa daratan? Atau lupa akan kebesaran Maha Pencipta? Sepatutnya,sekiranya seseorang sudah berjaya, dan dimurahkan rezeki oleh Maha Pencipta akan menjadi sebagai contoh kepada yang lain-lain. Mendorong sahabat handai dan sanak saudara akan kebolehan dan keupayaan yang dilandaskan dengan kecermelangan seseorang itu. Bukan mencalarkan atau memburukkan wajah-wajah ayu hasil rezeki yang dilimpah rahmat Tuhan.

Penulisan ku kali ini bukan ingin menimbulkan sebarang konfrantasi atau kontrovesi. Bukan ingin menyalah kan mana-mana pihak. Bukan ingin membanggakan diri sebagai orang yang hebat. Cuma ingin berkongsi, berbicara, menghalusi budaya sebuah bangsa itu sendiri yang di beri nama MELAYU.

Kita sebagai bangsa melayu cukup terkenal dengan adat, budaya, pujangga, pahlawan-pahlawan, kesetiaan, sasterawan, malah cukup terkenal sebagai bangsa yang bertoleransi. Disini kita dapat lihat daripada nenek moyang kita lagi, kita diajar dengan pantang larang, menghormati orang tua, peradaban tatasusila dan malah menghalusi ilmu agama Islam.

Didalam kontek-kontek yang disebutkan tadi, aku cuma ingin mengupas dalam isu semasa dan asas pokok penulisan ku dari lingkupan adat dan budaya. Memang benar, kita amat terkenal dengan budaya. Dari utara semenanjung hinggalah ke selatan, lebih 20 jenis budaya dari rumpun bangsa melayu itu sendiri. Dari mak yong ke zapin. Dari gemalan ke joget inang. Sungguh asyik, sungguh tertawan. Aku bangga menjadi anak bangsa melayu. Aku bangga menjadi sebahagian darinya. Tetapi bila berbalik akan kata-kata kawan ku, aku berasa sedih. Sayu bila mana terkenangkan akan bangsa ku sedikit mula sedikit telan dek arus permodenan zaman. Hanyut dek bersultankan nafsu. Alpa dek berajakan wang ringgit dan darjat. Mengapa terjadinya sedemikian rupa? Mesti ada penjelasan di sebalik kejadian.

Dibandar tempat ku mencari rezeki ini, jarang sekali adat dan budaya bangsa itu diguna pakai. Susah untuk melihat suasana seperti di kampung-kampung yang masih lagi suci tidak tercemar akan budaya baru dari kemajuan permodenan. Di kampung, bangsa melayu masih mengamalkan system bertukar hidangan di pinggan. Masih lagi bergotong royong sesama sendiri. Malah, kita boleh lagi melihat bangsa kita sibuk membanting tulang empat kerat pada tanah-tanah mereka. Ya,memang bangsa melayu dari dahulu lagi terkenal dengan bangsa bercucuk tanam. bangsa nelayan menangkap ikan. Ini di perakui oleh penjajah colonist British.
Aku mengerti akan kemajuan Negara yang dicapai sekarang. Aku menyedari akan permodenan akan membuatkan seseorang itu boleh keluar dari kelompok kemiskinan. Tidak lagi mengamalkan kerja-kerja yang dianggap stereotype bangsa lagi. Memang adalah lumrah alam, manusia akan ikut berkembang seperti mana Negara itu sendiri. Cuma, aku hanya ingin merungkai persoalan kata-kata kawan ku bila mana kebanyakkan bangsa kita akan mudah lupa asal usul atau daratan bila meraka sudah mewah atau kaya dek daripada pemberian yang Maha Esa.

Pelik? Pelik ku bila memikirkan nya. Ada segelintir bangsa kita yang kaya sudah tidak lagi tahu akan hukum hakam. Tidak ambil peduli akan adat melayu yang menghormati orang tua. Tidak lagi bersalaman mencium tangan orang tua. Tidak lagi mengaji Quran selepas sembahyang. Tidak lagi menzirahi sanak saudara dan handai. Tidak lagi membantu sesama sendiri. Malah ada banyak bangsa kita ini masih tidak tahu mengucap kalimah syahadat dan bersolat! Ada pula yang merasakan jijik pabila melihat darah daging sendiri yang masih belum kaya dan sedarjat dengan mereka. Yang masih mereka anggap kolot dan kotor. Yang mereka katakan kekampungan!!

Teruk sangatkah mereka? Sebagai seorang manusia dan sebangsa, aku rasa kasihan akan segelintir golongan yang di maksudkan tadi. Walhal, ketika dari dahulu lagi kita dibesarkan dengan ilmu pengetahuan dan ilmu agama. Walhal ibu bapa kita dahulu semuanya berasal dari kampung. Mengapa untuk dimalu akan mereka yang tidak senasib? Mengapa ingin dibuang saudara dan asal usul setelah menikmati kejayaan, kekayaan, pangkat dan darjat? Mana pergi nya budi bahasa dan nilai-nilai bangsa? Mana pergi nya sifat-sifat umat nabi Muhammad dan keturunan nabi Adam?

Sambil menyalakan sebatang lagi nicotine dimulut, aku terdengar laungan azan yang berkumandang diudara. Syahdu, terasa kerdil diri ini. Aku mengharapkan bangsa kita, orang kita boleh belajar sesuatu atas penulisan ku. Bagiku, apa yang baik itu adalah daripada Allah dan buruk itu adalah dari kelemahan aku sendiri. Aku masih lagi belajar tentang kehidupan. Aku masih lagi mencari sinar cahaya untuk masa depan. Aku masih berusaha mengorak bumi,menongkat langit dalam menempuh liku-liku kehidupan. Cuma apa yang dikatakan kawan ku itu, sedikit sebanyak meyakinkan aku bahawa sememangnya bangsa kita mungkin akan hilang adat dan budaya nya jika kita tidak sama-sama memelihara.

Benar kata pahlawan kita Hang Tuah “Tidak Hilang Melayu Di Bumi”. Cuma budaya dan adatnya sahaja yang mungkin hilang. Cuba pula kita renungkan kata pemikir barat – George Santayana (1863-1952) “But those who not learn from history will be tormented by repeating their mistakes”. Kita serumpun, kita sebangsa. Kehidupan bukan kekal selamanya. Hanya dipinjam oleh Tuhan Yang Maha Esa. Jangan bermegah, jangan telagah, kita semua adalah sama…

No comments:

Post a Comment